;

Search This Blog

pEnGeNaLaN-sEjArAh SlIm ViLlAgE

SEJARAH SLIM VILLAGE

Mukim Slim berasaskan kepada dua buah pekan kecil bersejarah iaitu Slim River dan Slim Village.

Slim River merupakan perkataan bahasa inggeris yang bermaksud Sungai Slim. Mengikut cerita mulut dari orang tua-tua pada zaman dahulu perkataan Slim berasal dari perkataan ‘ Seling ‘ atau ‘ Satu Ling ‘ yang merupakan satu unit sukatan bagi menyukat padi atau beras pada masa dahulu.

Kawasan Slim merupakan kawasan penempatan penduduk melayu yang didiami oleh Orang Melayu Mendaling, Rawa, Kampar dan sebahagiannya didiami oleh Orang Asli Tak Sempok adalah orang yang mula-mula membuka Slim dan menjadi Penghulu kepada lapan keturunan Sultan.

Pada masa dahulu Slim Village ini asal namanya lebih popular dengan panggilan Tanjung Belit. Ini adalah kerana keadaan sungainya yang berbelit maka nama sedemikian diberikan. Mengikut sejarahnya sekolah yang pertama didirikan di Kampung Piong dan balai polisnya pula terletak di Kuala Geleting. Namun pada tahun 1892 sekolah baru telah dibina di pekan Slim Village ini begitu juga dengan balai polisnya. Guru besar yang pertama adalah Koperal Salam. Namun sekolah ini telah pun dirobohkan dan digantikan dengan kuaters guru pada hari ini.

Mengikut cerita orang tua-tua ada perjalanan dari Ulu Slim ke Pahang merentas Banjaran Titiwangsa semasa berlakunya peperangan antara pahlawan Mat Kilau menentang Inggeris. Mengikut sejarah melayu tentera –tentera Sipoi (Sipahi) turut melalui kawasan Slim ini untuk pergi berperang ke Pahang.

Sebelum berlakunya peperangan dunia kedua tentera British telah bertahan di pekan bersejarah ini dan jika mengikut buku Dewan Bahasa tentera berkenaan adalah C-Company ke-6.Telah berlakunya peperangan sengit diantara pasukan jepun dan pasukan British yang bertahan disini. Tentera British telah mengalami kekalahan teruk dan melarikan diri melalui hutan untuk ke daerah lain dan waktu itu setiap hari ada sahaja tentera British melarikan diri. Kekalahan tentera British membuatkan tentera Jepun menjadikan kawasan ini sebagai kubu kuat mereka, termasuklah sebuah sekolah cina yang digunakan sebagai pusat operasi ( terdapat satu signboard mancatat sejarah peperangan ).

Kawasan Slim Village ini juga menjadi kubu kuat komunis pada masa dahulu kerana disini juga terdapat kaum cina, terutama sekitar kawasan Ulu Slim. Ramai orang-orang melayu dibunuh termasuklah seorang Penghulu bernama Abd. Rahman dan seorang ketua kampung bernama Ishak. Ramai juga yang telah dibunuh akibat diserang hendap oleh komunis ini terutamanya mereka yang bertindak menjaga kampung atau lebih dikenali sebagai SC. Dan yang lebih menyedihkan ramai yang dibunuh itu tidak dapat dikesan kubur mereka kerana dibawa jauh kedalam hutan.
Balai polis Slim Village ini juga telah dibakar dan seorang anggotanya telah dibunuh manakala kesemua ahli keluarga polis telah dibawa lari kedalam hutan oleh komunis ini. Kemudian dengan pertolongan seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Musa telah berusaha membawa keluar mereka yang disembunyikan dihutan dengan bantuan tentera Jepun.

Di dalam hutan di kawasan Slim Village ini memang banyak terdapat kubu komunis dan sebelum jepun menyerah kalah sebuah kapal terbang British telah menjatuhkan risalah, makanan dan juga kelengkapan senjata api kepada pihak komunis ini untuk membantu mereka menentang dan menghalau tentera Jepun. Dan setelah Jepun menyerah kalah di waktu keadaan darurat ini telah dibuat penempatan semula kepada mereka yang lari bersembunyi dihutan dan sebagainya, kehilangan rumah serta anggota keluarga akinat peperangan. Kawasan ini diberi nama Slim Village yang terkenal dengan masyarakat berbilang kaum dan kekallah nama berkenaan hingga ke hari ini.

0 comments:

Post a Comment